(Bahasa Malaysia/Malay)
Kebelakangan ini, banyak diperkatakan tentang orang-utan dan peranan industri kelapa sawit dalam merosotnya bilangan spesis itu. Soal jawab berikut dengan pakar orang-utan, Dr Marc Ancrenaz, bertujuan memberi penjelasan isu ini berdasarkan pengetahuan saintifik dan kajian lapangan selama 12 tahun ke atas orang-utan di Sabah, Malaysia.
Soalan: Adakah anda bersetuju dengan dakwan organisasi seperti World Growth yang berpendapat industri kelapa sawit tidak bertanggungjawab secara langsung dalam merosotnya populasi orang-utan?
Dr Marc Ancrenaz. Photo by H. Kler/HUTAN |
Dr Ancrenaz: Dakwaan seperti ini adalah tidak benar, tidak bertanggungjawab dan memberi gambaran yang salah tentang isu ini. Kajian genetik di Sabah menunjukkan populasi orang-utan telah merosot di antara 50 hingga 90 peratus dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Aktiviti memburu dan perniagaan binatang peliharaan (pet trade) adalah antara sebab bilangan spesis ini turun secara mendadak. Walau bagaimanapun, sebab terpenting orang-utan berkurangan berkait rapat dengan kehilangan hutan apabila ia ditukar kegunaannya untuk tujuan perladangan. Di Borneo dan Sumatra, dua wilayah habitat orang-utan, hutan diubah guna tanahnya untuk ladang kelapa sawit dan penanaman pokok untuk industri (industrial tree plantations). Keadaan ini menyebabkan kehilangan melampau atau ekstrim kepelbagaian biologi dan kemusnahan spesis seperti orang-utan. Ini tidak boleh diragui.
Soalan: Jika benar apa yang anda katakan, mengapa World Growth dan pihak lain dalam industri kelapa sawit membuat dakwaan palsu sedemikian?
Dr Ancrenaz: Saya perpendapat perkara ini berlaku kerana terdapat dua “kumpulan” iaitu kumpulan orang-utan, dan kumpulan kelapa sawit. Mereka yang terlibat mempunyai pendirian tegas tentang apa yang mereka percaya, dan keadaan ini menyukarkan mereka untuk mengambil pandangan yang tidak memihak pada mana-mana kumpulan. Pihak industri yang diserang pejuang alam sekitar mengambil pendekatan defensif dengan menafikan industri kelapa sawit adalah punca pada masalah yang wujud kini. Keadaan ini dikenali sebagai “greenwashing.” Pihak badan bukan kerajaan, atau NGOs pula mengambil pendekatan yang bertentangan atau “blackwashing,” dan menyalahkan industri untuk semua masalah, dan ini pun tidak semestinya benar. Debat tentang isu ini tidak boleh bergerak dalam mana-mana arah sekiranya keadaan ini berterusan. Kedua-dua pihak perlu berkerjasama untuk mencari penyelesaian.
Soalan: Adakah keadaan tadi mendorong anda untuk berkerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia, atau Malaysian Palm Oil Council (MPOC)?
Kinabatangan. © Novista. |
Dr Ancrenaz: Sebelum memberi penjelasan lanjut, saya ingin merakam penghargaan kepada bekas pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, mendiang (Allahyarham) Datuk Patrick Mahadi Andau. Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Borneo Conservation Trust (BCT), mendiang diminta oleh MPOC untuk memulakan satu projek di Sabah. Datuk Patrick mencadangkan kajian untuk mengenalpasti status orang-utan dalam lanskap ladang kelapa sawit. Berdasarkan hasil tinjauan, maklumat terkini dan tepat dihantar pada MPOC supaya pihak industri dapat menggunakan data ini dalam strategi guna tanah. Memandangkan MPOC telah membuka ruang untuk bekerjasama, saya berpendapat adalah amat penting untuk pejuang alam sekitar dan pihak industri sawit untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian bagi masalah yang timbul.
Soalan: Kenapa tinjauan dijalankan di ladang kelapa sawit?
Dr Ancrenaz: Tinjauan pada tahun 2004 oleh HUTAN dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati ada 11,000 orang-utan di Sabah dan daripada jumlah ini, 62% berada di luar kawasan perlindungan seperti di hutan komersil. Namun, kita tidak tahu tentang orang-utan yang berada “di dalam” ladang kelapa sawit dan pihak kami berpendapat perlu ada tinjauan untuk mengenalpasti samada orang-utan wujud dalam lanskap tersebut.
Soalan: Apakah keadaan yang wujud dalam lanskap kelapa sawit di Sabah?
Kinabatangan. © Novista. |
Dr Ancrenaz: Pada masa kini, estet kelapa sawit meliputi 14,000 kilometer persegi tanah Sabah. Jika dibandingkan, ia adalah sama dengan 20 negara Singapura. Sabah adalah pengeluar utama minyak sawit di Malaysia. Pokok sawit ditanam di kawasan tanah rendah, iaitu di kawasan yang ketinggiannya kurang dari 500 meter. Malangnya, hutan tanah rendah dahulunya menjadi tempat tinggal kebanyakan orang-utan dan lain-lain jenis hidupan liar, sebelum hutan ditukar gunanya untuk tujuan pertanian. Pembangunan ladang kelapa sawit di tanah rendah ini memusnahkan habitat kepelbagaian biologi yang unik di Borneo. Pada skala yang lebih kecil, kami telah mengkaji orang-utan di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan sejak tahun 1998. Sanktuari ini adalah habitat untuk kira-kira 1,000 orang-utan tetapi tempat tinggal hidupan liar ini berselerak dalam serpihan atau “pulau-pulau kecil” hutan yang dikelilingi ladang kelapa sawit. Baru-baru ini, kami mendapati orang-utan jantan yang muda mula hilang dari kawasan kajian kami di Sanktuari. Sudah tentu kami ingin tahu ke mana orang-utan ini pergi, dan projek yang dijalankan di bawah naungan BCT dengan sumber kewangan dari MPOC memberi kami peluang untuk mengkaji perkara ini di timur Sabah.
Kinabatangan.
Soalan: Apa yang telah anda temui hasil dari tinjauan tersebut?
Dr Ancrenaz: Terdapat bilangan yang agak tinggi sarang orang-utan di kawasan hutan terpencil yang telah mengalami kemusnahan tetapi masih wujud secara berselerak dalam ladang kelapa sawit. Keadaan yang sama dilihat di hutan paya bakau yang kini wujud berasingan dari hutan di tanah besar akibat pembangunan ladang yang memisahkan kedua-dua jenis hutan ini. Kami menjangkakan terdapat beberapa ratus individu orang-utan dalam lanskap kelapa sawit di timur Sabah, terutamanya di lembangan sungai-sungai Kinabatangan, Segama dan Sugut.
Soalan: Adakah ini bermakna orang-utan telah menyesuaikan diri mereka untuk hidup di ladang kelapa sawit?
© Dzulirwan @ Jolirwan bin Takasi/HUTAN. |
Dr Ancrenaz: Di sini saya ingin memberi penjelasan supaya hasil tinjauan di kawasan kelapa sawit tidak disalah erti seperti sebelum ini. Orang-utan tidak menyesuaikan diri dalam lanskap kelapa sawit dan tidak boleh hidup dalam lanskap kelapa sawit dalam keadaan yang wujud di ladang-ladang ini. Ia boleh disamakan dengan meminta manusia untuk hanya makan ubi kentang untuk hidup. Seperti manusia yang perlukan kepelbagaian sumber makanan supaya dapat terus hidup dalam keadaan sihat, orang-utan juga perlukan sumber makanan yang pelbagai. Semasa menjalankan kajian di kawasan Kinabatangan, kami telah mengenalpasti lebih dari 300 spesis tumbuhan yang dimakan oleh orang-utan yang hidup dalam hutan, iaitu habitat semulajadi mereka.
Soalan: Anda telah jumpa orang-utan dalam lanskap kelapa sawit. Bukankah itu bermakna orang-utan boleh meneruskan kehidupan dalam ladang-ladang kelapa sawit?
Dr Ancrenaz: Tidak, ia bukan bermaksud orang utan dapat hidup dalam ladang kelapa sawit. Kita perlu mengambil kira ekologi orang-utan itu sendiri. Pertama, apabila mereka mencapai usia dewasa, individu jantan akan meninggalkan hutan tempat ia dilahirkan dan dibesarkan untuk mencari hutan lain dalam usaha mewujudkan kawasan jajahannya sendiri, dan proses ini dikenali sebagai “penyebaran” atau dalam Bahasa Inggeris, “dispersal.” Namun, pada masa kini, hutan yang masih ada wujud secara serpihan dan berselerak, terutamanya di dataran banjir Kinabatangan. Di Sabah, keadaan ini berkait rapat dengan ladang kelapa sawit. Orang-utan tidak mempunyai pilihan. Individu tersebut mengambil risiko dengan menggunakan ladang kelapa sawit sebagai laluan dalam usaha mencari hutan. Ketika bergerak dalam ladang, mereka makan buah dan pucuk sawit dalam usaha mereka mencari hutan. Mereka terpaksa berjalan di atas tanah dan membuat sarang di beberapa pokok yang tertinggal dalam ladang. Persoalan di sini adalah apakah tempoh yang diperlukan oleh orang-utan untuk mencari hutan yang cukup besar yang dapat menjamin kehidupan mereka. Adakah mereka perlukan seminggu atau sebulan? Adakah orang-utan ini akan berjaya dalam usaha mereka? Mungkinkah orang-utan mula sesat dalam lanskap yang cuma ada satu spesis (kelapa sawit)? Kita belum dapat jawapan pada persoalan-persoalan ini.
Soalan: Mengapa orang-utan perlu melalukan “penyebaran” dan tidak terus kekal di hutan tempat ia dilahirkan?
Dr Ancrenaz: Apabila hidupan liar menjalankan aktiviti penyebaran, proses ini mengelakkan pembiakbakaan dalam (inbreeding) dan lain-lain gejala baka atau genetik dalam populasi. Selain itu, serpihan kecil hutan boleh membawa pada keadaan di mana terdapat terlalu banyak orang-utan dan juga situasi di mana pergaduhan tercetus kerana inginkan sumber makanan yang makin berkurangan. Penyebaran adalah dimestikan untuk mengawal bilangan orang-utan yang dapat hidup dalam serpihan hutan.
Soalan: Apakah yang boleh dilakukan seterusnya?
Dr Ancrenaz: Banyak yang boleh kita lakukan untuk membantu orang-utan di Sabah dan hasil kajian kami memberi peluang pada industri sawit untuk memainkan peranan dalam perlindungan spesis ini setelah menyumbang pada merosotnya bilangan orang-utan pada masa lalu. Pemilik ladang perlu memberi keutamaan pada usaha mewujudkan koridor hutan dalam kawasan mereka untuk menyambung serpihan hutan yang menjadi habitat orang-utan. Namun, ini adalah pendekatan khusus pada tapak (site specific). Saya ingin menggunakan dataran banjir Kinabatangan sebagai contoh. Peserta di Kolokium Orang-Utan 2009 yang diadakan di Kota Kinabalu telah mengutarakan resolusi perlunya koridor hutan selebar 100 meter di tebing sungai. Koridor tersebut akan membantu orang-utan menggunakan lanskap kelapa sawit dalam proses penyebaran. Koridor ini juga akan membantu hidupan liar lain seperti gajah pygmy Borneo yang hanya ditemui di Sabah dan di sempadan dengan Kalimantan
Soalan: Bukankah usaha ini telah dibuat? Terdapat laporan yang menyebut usaha mewujudkan koridor hutan di Kinabatangan oleh pihak industri kelapa sawit.
Kinabatangan. © Novista. |
Dr Ancrenaz: Ya, memang banyak yang telah ditulis tentang isu ini terutamanya di Kinabatangan tetapi masih ada kawasan tebing sungai Kinabatangan yang ditanam dengan kelapa sawit. Ini menutup peluang hidupan liar dan mereka perlu menggunakan ladang untuk aktiviti penyebaran. Mewujudkan koridor hutan di tebing sungai akan memberi hidupan liar laluan dan sumber makanan. Selain itu, koridor di tebing sungai akan membantu usaha membaiki kualiti air sungai kerana ia bertindak sebagai benteng kesan negatif pertanian ke atas alam sekitar. Ada beberapa syarikat sawit yang sudah mula mewujudkan koridor di ladang masing-masing, tetapi jumlah tanah yang dilepaskan untuk tujuan ini masih terlalu kecil. Tindakan sebenar diperlukan pada tahap lanskap sekiranya kita ingin memastikan masa depan kawasan Kinabatangan. Kerajaan Negeri sudah mula mengambil tindakan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Jabatan Hidupan Liar yang berusaha mewujudkan “koridor kehidupan” di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan. Tetapi pada masa sama, saya kecewa organisasi seperti World Growth memperuntukkan begitu banyak dana untuk aktiviti “greenwashing” terutamanya apabila dakwaan tidak berasas diutarakan untuk mempromosi nilai orang-utan tanpa mengambil tindakan untuk membaiki keadaan yang sebenar. Maksud saya di sini ialah masa sudah tiba untuk menyelesaikan atau mengurangkan masalah sebenar dalam usaha meningkatkan peluang untuk orang-utan terus hidup. “Greenwashing” perlu dihentikan dan dana untuk aktiviti tersebut perlu digunakan untuk menanam semula pokok dan mewujudkan koridor hutan. Kebanyakkan peserta di Kolokium yang diadakan tahun lepas merasakan industri telah mengambil sumber asli, dan kini sudah tiba masa untuk industri “memberi balik” sebelum ekosistem yang ada sekarang musnah. Sekiranya ini dilakukan, tidak ada lagi perbalahan tentang nilai ekonomi minyak kelapa sawit dan sumbangannya pada pembangunan. Kini, kita perlu mengambil tindakan yang betul dan mengatasi debat ini dalam konteks menghasilkan minyak sawit secara mapan.
-Tamat.
Dr Marc Ancrenaz mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang biologi hidupan liar hasil kajian yang beliau jalankan di Afrika, Arab Saudi dan Borneo. Beliau telah menerbitkan banyak artikel dalam jurnal terkemuka seperti PLOS Biology, Nature, Animal Conservation dan lain-lain. Dr Ancrenaz juga menjadi pengulas untuk beberapa jurnal saintifik. Beliau adalah pengasas bersama dan pengarah bersama badan bukan kerajaan Perancis, HUTAN, yang berpengkalan di Kampung Sukau di tebing Sungai Kinabatangan, di timur Sabah. Sejak tahun 1998, HUTAN telah menjalinkan usahasama dengan Jabatan Hidupan Liar Negeri dalam bidang pemeliharaan orang-utan di hutan. Dr Ancrenaz turut dilantik sebagai ahli dalam Panel Penasihat Jabatan Hidupan Liar Negeri.