Site icon Conservation news

Sabah Mampu Menjadi Peneraju Tenaga Boleh Diperbaharui (Malay)

Sabah, dan Malaysia secara keseluruhannya, mampu memperolehi manfaat hasil penggunaan tenaga elektrik bersih, menurut satu kajian awal mengenai penjanaan kuasa di negeri ini.



Salah satu cara mencapai hasrat ini adalah kerajaan perlu menimbang semula keputusan mengenakan had pengeluaran 10 megawatt (MW) ke atas penjanaan elektrik dari pengeluar kuasa persendirian (IPP) yang menyertai program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SREP).



Syarikat penjana elektrik juga perlu menimbang untuk membayar mereka yang menyertai SREP lebih dari maksimum 21 sen se kilowatt jam (kWh) untuk tenaga biomas, seperti yang datang dari sisa tandan kelapa sawit.



“Langkah seperti ini akan membantu mengurangkan sisa hasil pemprosesan perladangan, membantu Malaysia mencapai cita-citanya dalam sasaran mengurangkan gas rumah hijau dan menyediakan peluang pekerjaan.



“Terdapat geran antarabangsa untuk penyelidikan, pinjaman dengan kadar faedah rendah dan insentif pengimbangan karbon (carbon offset) untuk mereka yang membangunkan projek penjanaan kuasa dari sisa kelapa sawit,” menurut kajian “Pilihan Tenaga Bersih Untuk Sabah: Analisa Sumber dan Kos.”



Kajian yang memetik pelbagai sumber tempatan dan antarabangsa, bertujuan menganalisa maklumat potensi tenaga boleh diperbaharui di Sabah, salah satu alternatif mesra alam dan kos efektif pada cadangan membina janakuasa arang batu 300 MW di Lahad Datu.



Laporan hasil penyelidikan itu ditulis oleh Profesor bidang tenaga di University of California di Berkeley, Daniel M. Kammen; pelajar undang-undang dari universiti yang sama Tyler McNish; dan pelajar bidang Sains Alam Sekitar dan Polisi Awam Harvard College, Benjamin Gutierrez.



Green SURF (Sabah United to Re-Power the Future), gabungan lima pertubuhan bukan kerajaan, telah meminta kajian tersebut dijalankan untuk melihat jenis-jenis pilihan lain untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik, terutamanya di pantai timur.



Laporan menegaskan 42 daripada 117 kilang sawit di Sabah bersaiz cukup besar untuk menghasilkan 380MW pada masa ini.



Kapasiti penjanaan mampu meningkat ke 510MW menjelang 2020 sekiranya jumlah kilang bersaiz besar bertambah bilangannya sejajar dengan penghasilan lebih banyak tandan kelapa sawit segar.



Pada masa ini, hanya terdapat 30MW yang dijana dari sisa sawit hasil pembangunan projek SREP di Sabah.



Berdasarkan analisa kos dan insentif sedia ada untuk tenaga boleh diperbaharui, kajian ini mendapati projek penjaanan kuasa dari sisa sawit di kilang-kilang besar adalah kos kompetitif dengan arang batu.



Ia juga mendapati kuasa hidro adalah kos kompetitif dengan kuasa yang datang dari arang batu, namun mencadangkan lebih banyak kajian dijalankan untuk mengenalpasti kawasan sesuai bagi pembangunan hidro memandangkan data yang ada kini sudah lapuk (dari tahun 1980an).



Ia juga mendapati kuasa dari arang batu adalah lebih kompetitif berbanding kuasa geotermal, tetapi tenaga geotermal adalah bersih dan terdapat satu tapak berhampiran Tawau yang mampu menghasilkan 67MW.



Kajian tersebut turut mencadangkan agar subsidi ke atas sumber fosil (seperti gas) yang mempengaruhi pasaran tenaga secara tidak adil, dihentikan secara berperingkat.



Pada masa yang sama, perlunya kajian berterusan ke atas potensi sumber boleh diperbaharui seperti geotermal, angin dan mikro hidro.



Satu aspek penting hasil kajian Profesor Kammen dan rakan-rakannya adalah perlunya penggunaan tenaga elektrik secara efisien di rumah dan bangunan komersil, langkah yang mampu menjimatkan lebih dari 100MW di Sabah.



Profesor Kammen yang menerangkan dengan lebih lanjut konsep ini dalam satu forum yang diadakan di sini baru-baru ini, menegaskan penggunaan tenaga secara efisien adalah alternatif paling murah untuk Sabah menangani masalah kekurangan bekalan elektrik.



“Ia bukan sahaja satu cara untuk mengimbangi penggunaan sumber fosil, tetapi turut membantu menjimatkan wang. Ia adalah pilihan yang terbaik.



“Sabah perlu mengambilkira pilihan pelbagai yang ada di negeri ini, seperti kuasa geotermal, hidro, biomas dan penggunaan tenaga secara efisien.



“Sesetengah pihak mungkin merasakan ia mustahil dilakukan, tetapi bagi negara yang telah mencubanya, mereka mendapati mereka kurang bergantung pada sumber fosil dan tidak perlu mengimpot sumber tersebut. Ini juga boleh mengurangkan pengaliran wang ke luar.



“Hasil kebimbangan tentang perubahan iklim, lebih dari seratus loji janakuasa arang batu di Amerika Syarikat dibatalkan,” kata Kammen pada forum yang dihadiri hampir 400 orang.



Menurut Kammen, Sabah mempunyai peluang untuk menghasilkan tenaga mencukupi tanpa loji arang batu, dan mampu menjadi peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Timur.



Cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam laporan itu selari dengan Model Ekonomi Baru yang dilancarkan kerajaan Malaysia beberapa hari lalu.



Model tersebut antara lain menyeru agar negara menjadi peneraju teknologi hijau memandangkan Malaysia mempunyai banyak sumber semulajadi, yang mampu membantu negara menunaikan janjinya pada masyarakat dunia untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada 2020 berbanding tahap tahun 2005.



Majlis Penasihat Ekonomi Negara memberi amaran bahawa Malaysia berhadapan kemusnahan alam sekitar dan sekatan global yang akan membawa kesan negatif ke atas ekspot dan pendapatan negara, sekiranya sumber alamnya tidak dijaga dengan baik.



Kawasan yang dipilih untuk cadangan pembinaan loji arang batu di Lahad Datu adalah berdekatan dengan Wilayah Ekologi Marin Sulu Sulawesi yang dikenali di serata dunia sebagai pusat marin dan perikanan.

Exit mobile version